Lahirkan siswazah berfikiran bisnes
SEKTOR perniagaan dan perdagangan merupakan suatu kegiatan ekonomi berprospek paling baik dan memberikan pulangan pendapatan lumayan. Banyak insentif dan peluang disediakan kerajaan kepada rakyat negara ini untuk menceburi bidang penting itu. Malah, pendedahan awal berkenaan perniagaan sedang rancak diusahakan sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ini satu pendekatan terbaik dalam menjadikan bidang keusahawanan sebagai profesion anak muda di negara kita. Namun, baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana setakat ini, kurang lima peratus mahasiswa yang menceburi bidang itu selepas mereka tamat pengajian.
Sebagai langkah memperkasakan pembabitan mahasiswa dalam perniagaan, Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi telah digubal bagi memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan berbentuk holistik di seluruh IPT tempatan.
Ini satu langkah yang tepat dalam memotivasi mahasiswa untuk memilih bidang keusahawanan selepas mereka keluar dari menara gading.
Menurut Mohamad, enam teras Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT, antaranya ialah menubuhkan Pusat Keusahawanan di setiap IPT, memantapkan program pembangunan dan pengukuhan keusahawanan diharapkan dapat memantapkan setiap program yang dilaksanakan.
Jika diperhalusi apa yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu akan mampu mendedahkan sektor keusahawanan sejak mahasiswa berada di universiti lagi dan ini sudah tentu boleh membangkitkan semangat untuk memilih keusahawaanan sebagai kerjaya pilihan.
Penganjuran Pertandingan Perniagaan Malaysia Peringkat IPT 2010 bertemakan Cabaran Sebenar Perniagaan Tahun 2010, seharusnya mampu menjadi platform untuk menjinakkan mahasiswa mencintai bidang keusahawanan.
Pertandingan seumpama itu telah memberi gambaran KPT sentiasa berusaha membimbing mahasiswa untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. Mengapakah perlunya kita galakkan mahasiswa memilih bidang ini?
Sebagaimana yang kita sedia maklum dunia perniagaan sudah berubah dari bentuk ekonomi tradisional berasaskan komoditi kepada ekonomi yang berteraskan pengetahuan, inovasi dan daya cipta kreativiti.
Jadi, sangat sesuailah mahasiswa digalakkan dalam bidang itu kerana mereka akan mampu mengeksploitasi segala khazanah ilmu pengetahuan ke dalam bidang niaga yang diceburi.
Sebelum ini, kebanyakan mahasiswa secara tradisinya terlalu bergantung kepada peluang kerjaya dalam sektor awam dan swasta. Isu pengangguran graduan IPT yang tiada kesudahannya akan mampu diatasi jika mereka bersedia membuka minda dan keluar daripada kepompong lama untuk menerokai bidang perniagaan sebagai kerjaya.
Golongan mahasiswa harus bersedia dari segi minda untuk mencipta peluang pekerjaan sendiri dan kaedahnya ialah melibatkan diri dalam sektor keusahawanan. Dengan tenaga muda berdaya saing tinggi, kekuatan minda berintelektual utuh serta kemampuan meneroka pelbagai usaha inovasi berkreativiti, pastinya seseorang mahasiswa akan berupaya memunculkan diri sebagai seorang usahawan unggul.
Jadi, usaha mengadakan pertandingan perniagaan antara IPT tidak harus terhenti di situ saja, sebaliknya program yang lebih dinamik mesti didedahkan kepada mahasiswa di kampus.
Dalam pertandingan yang diadakan itu, kita lihat bukan saja universiti yang mengambil bahagian, malah terdapat beberapa politeknik turut sama. Ini satu perkembangan sihat yang memberi gambaran bahawa pendedahan berkenaan keusahawanan sudah dilaksanakan secara massa.
Misalnya, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor berjaya mendapat tempat kelapan daripada 22 IPT yang mengambil bahagian. Ini menunjukkan IPT tempatan mampu menjayakan bidang perniagaan secara berkesan dan hal itu pastinya akan meninggalkan impak positif dalam usaha kerajaan menggalakkan budaya keusahawanan di kalangan mahasiswa.
Namun, perlulah diingat dalam usaha menimbulkan minat berniaga di kalangan mahasiswa, pemupukan ciri-ciri usahawan mesti dilakukan sebaik yang boleh dengan menyalurkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam aspek perniagaan.
Contohnya, tentang kaedah pemasaran yang tepat dan berkesan wajar diketahui oleh golongan tersebut.
Selain itu, berikan ruang dan peluang seluas-luasnya kepada mahasiswa IPT tempatan untuk beramali dalam sektor perniagaan itu di luar kawasan kampus. Dengan pendedahan persekitaran luar, pengalaman dan kemahiran berniaga akan menjadi semakin mantap dan ini akan memberi keyakinan kepada mereka.
Pihak pengurusan IPT dan juga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) perlulah lebih proaktif merangka pelan perancangan untuk mewujudkan budaya niaga di kalangan mahasiswa di kampus dengan menggalakkan seberapa ramai penyertaan. Pembentukan syarikat perniagaan di kawasan kampus secara berkumpulan boleh dilaksanakan dan ini satu pengalaman yang sangat berharga buat mahasiswa untuk mengetahui selok belok ilmu perniagaan.
Selain itu, IPT boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak luar seperti syarikat perniagaan terkemuka untuk memberi bimbingan dan pendedahan kepada mahasiswa dan ini juga dirasakan mampu menarik minat ke arah budaya niaga.
Kita berharap akan timbul minat yang mendalam di kalangan mahasiswa untuk mencipta peluang berniaga secara sepenuh masa dan menjadi golongan yang mampu berdikari serta berupaya pula memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi negara.
Ini tidak mustahil, kerana golongan mahasiswa negara mempunyai segala kemudahan dan peluang. Cuma hanya menunggu untuk mahasiswa memilih dan merebutnya saja.
Sumber : Harian Metro









